Khamis, 8 Februari 2018

Tahu tak bagaimana nak urus harta pusaka?

Harta Pusaka

Formula FAST Mudahkan Pembahagian Harta.
Kosmo Ahad 8 Januari 2017
JURNAL Wawancara Minggu Ini

Urusan pembahagian harta lebih mudah jika pemilik harta kenal pasti waris terlibat, aset dibawah namanya, urusan pentadbiran dan kaedah pembahagiannya.

KESEDARAN rakyat untuk membuat permohonan pembahagian harta pusaka masih berada pada tahap rendah. Ini kerana, menerusi Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merekodkan kira-kira RM60 bilion jumlah harta yang masih tidak dituntut oleh waris si mati sejak tahun 1950-an. Situasi itu dikatakan berlaku kerana sikap tidak prihatin masyarakat untuk mengambil urusan pusaka sehingga menyebabkan permohonan pembahagian harta dilengah-lengahkan. Kisah percakaran dan pergaduhan sesama ahli keluarga sudah lali dalam kalangan masyarakat. Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI bersama Pengarah Urusan Kausar Wealth Management Sdn. Bhd., Khamarul Azhar Hashim bagi mengupas isu harta pusaka.

Boleh Encik Kamarul definisikan harta pusaka mengikut konteks perundangan negara?

Khamarul: Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, harta merupakan apa yang dimiliki sama ada harta alih, harta tak alih atau harta dalam tuntutan yang mempunyai nilai daripada hukum Syarak. Harta bertukar status menjadi harta pusaka selepas berlakunya kematian pemilik harta berkenaan. Selepas menjadi harta pusaka, pemilikannya berubah daripada pemilik asal kepada waris. Di sini, persoalannya siapakah waris yang dimaksudkan. Dari­pada sudut agama, waris sudah dite­tap­kan seperti yang tertulis dalam al-Quran. Bagi orang bukan Islam, waris ditetapkan mengikut Akta Pembahagian 1959.

Kita melihat nilai harta pusaka yang tidak dituntut di negara ini bernilai lebih RM60 bilion. Pada pandangan pihak tuan, apakah punca-punca yang menyebabkan perkara sedemikian terjadi?

Melihat pada statistik, jumlah harta yang tidak dituntut semakin naik dari tahun ke tahun dengan kadar yang drastik. Harta tersebut merupakan harta yang dibekukan dan tidak boleh dimanfaatkan kerana masih lagi kekal atas nama si mati. Sistem perundangan mengikut pentadbiran sivil kita menentukan harta yang berdaftar seperti rumah, tanah dan kereta akan dibekukan selepas kematian pemilik untuk melindungi hak waris. Oleh itu, pihak yang terlibat harus melalui proses pentadbiran untuk mencairkan harta berkenaan. Mengikut pengalaman saya dan berdasarkan beberapa kajian yang dibuat, ada empat faktor utama yang menyebabkan perkara itu terjadi iaitu sikap, tidak faham konsep pembahagian harta, operasi pentadbiran dan gagal menyediakan peruntukan dan masa. Selain itu, budaya orang Melayu yang suka melengah-melengah proses pembahagian harta walhal agama Islam menyuruh kita menyegerakan urusan harta selepas kematian seseorang. Ramai orang rasa bersalah untuk memulakan perbincangan mengenai harta kerana takut dilabel oleh kaum keluarga yang lain. Ada juga yang beranggapan bahawa anak-anak mereka pandai membahagikan harta selepas kematian mereka lalu mereka mengabaikan perkara berkenaan.

Apakah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan pembahagian harta selepas kematian pemilik?

Ada tiga tahap yang perlu diperhatikan iaitu proses perolehan, pentadbiran dan pembahagian. Ramai orang Islam hanya membincangkan mengenai pembahagian harta, namun tidak tahu mengenai dua prosedur awal itu. Apabila harta dibekukan, waris hendaklah mencairkan harta tersebut melalui agensi-agensi berkuasa untuk proses perolehan kuasa. Hal ini kurang difahami oleh orang Islam kerana proses itu terletak di bawah bidang kuasa sivil. Bagi harta pusaka besar iaitu harta yang bernilai lebih daripada RM2 juta, pihak berkuasa yang terlibat ialah Mahkamah Tinggi, manakala harta pusaka kecil iaitu harta bernilai kurang RM2 juta (syarat ada harta tak alih), rujukan harus dibuat kepada Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Harta pusaka ringkas iaitu harta alih yang bernilai kurang dari RM600,000 perlu dibawa ke Amanah Raya Bhd. Pentadbiran pula merujuk kepada urusan untuk memindahkan harta kepada waris. Waris perlu kenal pasti apakah halangan dan kekangan yang perlu diselesaikan. Sebagai contoh, hutang kepada bank perlulah diselesaikan terlebih dulu sebelum penukaran nama dibuat dalam geran rumah. Selain itu ada juga jumlah yang perlu ditolak seperti kos pengebumian, pembayaran hutang-hutang dan wasiat yang dibuat semasa hidup. Baki daripada kos yang ditolak tadi barulah dibahagikan untuk waris.

Siapakah yang berkuasa untuk melaksanakan proses-proses berkenaan?

Kebiasaannya, orang yang dilantik menjadi wasi (pen­tadbir) oleh pemilik harta sema­sa hidup seperti sua­­mi, isteri dan anak. Mudah bagi pihak seperti Tabung Haji dan Amanah Saham Bhd. untuk mengeluarkan wang jika pentadbir mempunyai dokumen-dokumen yang berkaitan. Orang yang dilantik perlulah faham mengenai tugasan dan prosedur yang terlibat. Pilihan lain ialah melantik pihak ketiga iaitu syarikat amanah untuk membantu pentadbir membuat urusan perolehan harta, pembayaran hutang dan pembahagian.

Pada pandangan tuan, apakah langkah-langkah yang boleh dibuat untuk memudahkan urusan pembahagian harta.

Langkah-langkahnya boleh disimpulkan dalam FAST yang merujuk kepada Faham, Aset, Solusi dan Tindakan. Faham bererti si pemilik hendaklah faham dan kenal pasti siapakah waris-waris yang layak mendapat hartanya mengikut perundangan agar si pemilik tidak salah faham siapa yang dimaksudkan dengan waris. Contohnya, seorang isteri dijadikan penama untuk wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Selepas kematian si suami, si isteri mengambil kesemua wang itu dan tidak memberi wang kepada waris yang layak kerana dia beranggapan bahawa penama ialah pemilik harta selepas kematian suaminya, walhal penama hanyalah wasi yang bertanggungjawab mengurus dan membahagikan harta. Aset pula merujuk kepada kemas kini penyenaraian aset yang dimiliki. Ada orang yang saya jumpa tidak pernah menyenaraikan harta mereka dan ini akan melambatkan lagi proses pembahagian kerana waris tidak menyedari kewujudan aset-aset tersebut. Selepas aset disenaraikan, kenal pasti sama ada aset tersebut mempunyai tunggakan yang perlu dibayar atau keperluan tertentu yang diletakkan atas aset tersebut. Ketiga, solusi kepada persediaan daripada aspek dokumentasi dan peruntukan untuk menyelesaikan urusan-urusan tersebut. Tindakan merujuk kepada kaedah pembahagian yang tersedia untuk pemilik harta sama ada melalui kaedah faraid, wakaf, hibah dan wasiat sepertiga untuk yang bukan waris. Atas nama tanggungjawab dan kasih sayang kepada waris-waris si pemilik, maka wajarlah pemilik harta merancang pembahagian dengan teliti mengikut langkah yang digariskan.

Berapa lama tempoh masa untuk urusan berkenaan?

Tempoh masa berbeza mengikut tiga kategori harta. Kebiasaannya proses perundangan mengambil masa antara lima ke enam bulan bermula dari tarikh pemfailan di agensi berkaitan. Proses di Mahkamah Tinggi kebiasannya lebih cepat tetapi peruntukannya lebih tinggi. Kenal pasti di mana harta-harta tersebut, siapa yang akan menguruskan dan peruntukan yang perlu dikeluarkan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4V8xpBTV7

Isnin, 29 Januari 2018

Tips Kesihatan - Petanda Strok

Strok adalah punca kematian ketiga terbesar di Malaysia. Dianggarkan seramai 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok setiap tahun. Kenali gejala dan langkah pencegahan strok bersama Perunding Medikal Prudential BSN Takaful, Dr Sharliza Mohd Salleh

Khamis, 25 Januari 2018

Fikirkan dahulu perkara ini sebelum ambil takaful

Berikut adalah 5 perkara yang kita perlu pertimbangkan untuk memilih takaful yang paling sesuai.

1. Tahu Keperluan Anda

Sebelum membuat sebarang pilihan, kita mesti tahu matlamat kita untuk mencarum ke dalam Takaful. Di antara contoh pelan takaful yang lazimnya ditawarkan adalah:
o Takaful Keluarga
o Takaful Pendidikan Anak
o Takaful Perubatan & Kesihatan (Medical Card)
o Takaful Pelaburan, dan banyak lagi.
Kalau dilihat daripada perspektif umum, pertama sekali kita mahukan perlindungan, kedua simpanan, dan akhir sekali barulah pelaburan. Pelan yang komprehensif akan menawarkan ketiga-tiga produk ini dalam satu. Tapi, semak keutamaan anda dan sebaiknya fokuskan pada perlindungan terlebih dahulu.
4 jenis perlindungan yang patut kita tekankan dalam sesebuah polisi adalah:
1. Perlindungan Rawatan Hospital dan Pembedahan (Medical Card)
2. Perlindungan Penyakit Kritikal
3. Perlindungan Kemalangan Diri
4. Perlindungan Kematian dan Lumpuh
Keempat-empat jenis perlindungan ini adalah amat penting, lebih-lebih lagi jika anda adalah breadwinner atau seseorang yang menanggung keluarga.


2. Tetapkan Bajet Yang Realistik
Kalau ikut pakar kewangan, nilai polisi Takaful yang paling sesuai adalah bernilai 10 kali ganda daripada jumlah gaji tahunan kita. Tetapi, kalau kita masih ada banyak tanggungan dan belum dapat mencapai nilai tersebut, jangan pula memaksa diri dan lepas 3-4 bulan dah nak terminate sebab tak mampu nak bayar.
Jadi, ambil jumlah yang mampu bayar. Seeloknya adalah 10% daripada gaji kita, tetapi kalau hanya mampu sekadar 5% pun boleh. Polisi ini boleh sentiasa diperbaharui dan upgrade dari semasa ke semasa.
Elakkan juga mengambil yang paling murah dan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ kerana ia mungkin mempunyai unsur penipuan, menyukarkan anda bila nak buat claim nanti atau tidak mendapat perlindungan yang secukupnya.
Ada yang bergaji besar sehingga RM6000, nak ambil takaful RM100 pun berat hati sebab duit hujung bulan pun cukup-cukup. Jenis yang ini perlu perbaiki cashflow dahulu sebelum ambil Takaful.


3. Pilih Ejen Yang Bagus
Kalau ditanya di antara PruBSN Takaful, AIA Public Takaful, Etiqa, Zurich Takaful – yang mana bagus? Memang susah nak cakap sebab biasanya syarikat-syarikat besar ini tentunya mempunyai kewangan yang kukuh dan stabil.
Boleh dikatakan semuanya bagus. Tapi, salah satu cabaran yang perlu anda lalui nanti adalah mencari ejen yang jujur kerana mereka inilah yang perlu menerangkan dengan jelas butiran maklumat yang diperlukan dalam borang cadangan serta memaklumkan fakta yang penting dalam polisi tersebut.
Mungkin ada yang ‘baik’ semasa memujuk kita untuk membeli saja. Lepas kita dah jadi klien mereka, terus tak ada follow-up, tak layan panggilan dan ada juga kes ejen bawa lari duit kita!


4. Fahamkan Polisi Secara Menyeluruh
Bagi kita yang tak biasa dengan istilah kewangan, memang susah sikit nak fahamkan semuanya. Jadi, tak perlu terburu-buru dan belajar sedikit sebanyak perkataan-perkataan yang biasa digunakan. Boleh gunakan Google, buku kewangan, pamphlet yang diberikan atau tanya melalui rakan-rakan.
Jangan malas tau!


5. Double-check Segala Maklumat
Akhir sekali, berwaspada terhadap ejen yang tidak berdaftar. Sebelum membuat sebarang pembayaran, semak dengan pengendali syarikat Takaful atau Persatuan Takaful Malaysia untuk memastikan ejen tersebut adalah ejen yang bedaftar.
Elakkan menandatangani borang permohonan, borang tuntutan yang kosong, atau apa-apa perjanjian sebelum membacanya sampai habis. Mesti double-check.
Jangan Malu Bertanya
Kalau ada sebarang perkara yang tak jelas atau tak tahu, bertanyalah. Jangan anggap ianya remeh.
Paling penting, mesti fokus pada apa yang perlukan dan bukan apa yang ejen tawarkan.

Rabu, 24 Januari 2018

Berita baik - manfaat takaful boleh dihibahkan

Peserta takaful boleh menarik nafas lega apabila Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara mengeluarkan satu resolusi bahawa takaful boleh dihibahkan. Ini bermaksud sebarang faedah kematian boleh diberi terus kepada penama tanpa perlu difaraidkan.
Keputusan MPS pada 5 November 2014 berasaskan pertimbangan memandangkan peserta memilih untuk membahagikan manfaat takaful kepada penama secara hibah ketika hidup (peserta), adalah adil dan munasabah jika setiap penama mendapat bahagian sama rata bukan peratusan bahagian masing-masing.
Kaedah itu boleh mengelakkan timbulnya persengketaan sesama penama jika satu pihak mendapat bahagian yang lebih berbanding pihak lain.
Dalam kes kematian penama sebelum kematian peserta dan tiada penamaan baharu dibuat, hibah manfaat akan dikembalikan kepada peserta kerana tiada penerima bahagian hibah itu. Oleh itu, bahagian manfaat itu hendaklah diurus berdasarkan hukum dan prinsip faraid selepas kematian peserta kerana manfaat itu akan menjadi sebahagian daripada harta peserta.
MPS pada mesyuarat ke-114 pada 28 Julai 2011 juga memutuskan jika penamaan dibuat kepada lebih daripada seorang benefisiari tanpa menyatakan bahagian peratusan masing-masing, pembahagian manfaat takaful perlu diberi secara sama rata kepada setiap penama sebagai benefisiari.
Resolusi ini dinyatakan dengan jelas dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dalam Jadual 5 yang mengatakan peserta takaful berhak menamakan sesiapa sahaja sama ada sebagai penama atau pentadbir bagi faedah takaful.
Apa itu hibah
Hibah bermaksud pemberian pemilikan sesuatu barang kepada seseorang tanpa sebarang balasan. Ia adalah kontrak satu pihak dan mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad).
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat, iaitu barang atau harta yang halal serta mempunyai nilai di sisi syarak. Barang dihibahkan mestilah wujud ketika dihibahkan.
Mengikut Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali, hibah terhadap harta yang dikongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya.
Mengikut Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Ini juga terpakai kepada rumah yang diinsuranskan di bawah MRTA yang ingin dihibahkan perlu mendapatkan keizinan dari pihak bank.
Hibah terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran agama Islam di setiap negeri dan secara langsung ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
Kebanyakan Mahkamah Syariah menggunakan perkataan 'alang' sama ada ketika marad-al-maut, alang hayat atau ketika hidup dan 'penyelesaian yang dibuat tanpa balasan' merujuk kepada hibah atau pemberian.
Penggunaan perkataan sama dapat dilihat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Peserta takaful ada hak
Seksyen 46 (2) (b), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah, termasuk mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding berkaitan wasiat atau alang ketika marad-al-maut, alang ketika hidup atau penyelesaian dibuat tanpa balasan memadai dengan wang atau nilaian wang.
Undang-undang sudah memberikan kuasa penuh kepada peserta takaful dalam melantik penama sebagai pemegang amanah, pentadbir atau penerima hibah. Kebanyakan syarikat takaful hari ini menyediakan takaful berserta pelaburan. Ini juga terpakai kepada simpanan akaun pelaburan takaful, melainkan peserta telah mengatakan dengan jelas sebaliknya.
Berbeza dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penama hanyalah pentadbir. Ini diputuskan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 yang mengatakan lantikan penama oleh orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi mereka menyimpan adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka cuma ia sebagai pelaksana untuk membahagi harta pusaka itu kepada waris mengikut hukum syarak.
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000 menjelaskan, wang KWSP dan wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid.
Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada 9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia yang menjelaskan bahawa wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka. Kaedah pembahagian harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.

Selasa, 23 Januari 2018

Urus harta pusaka usah bebani waris


URUS HARTA PUSAKA, USAH BEBAN WARIS



"BIARLAH dulu, tanah kubur masih merah. Tak perlu berebut harta pusaka...” Itu mungkin kata-kata yang biasa didengar setelah berlaku kematian.
Seolah-olah yang bertanya tidak sabar untuk mendapatkan harta si mati. Namun jika difahami yang tersirat, ia bertujuan menyelesaikan hak si mati seperti hutang dan berkaitan hak waris yang terlibat.
Berbaki RM60 bilion jumlah harta yang tidak dituntut waris sejak 1950 menunjukkan kesedaran rakyat di negara ini khususnya beragama Islam membuat permohonan pengurusan harta pusaka masih rendah.
Kurang 10 peratus membuat wasiat dan didokumentasikan manakala selebihnya masih belum menyediakan wasiat.
Usah tangguh dalam menguruskan harta pusaka kerana kematian akan berlaku pada bila masa sahaja.
Ikuti perkongsian lanjut daripada pakar perancang harta Islam, Norisah Ibrahim.

Bagaimanakah kesedaran rakyat di negara ini terhadap pengurusan harta pusaka?
Pemahaman dan kesedaran umat Islam masih rendah menyebabkan banyak harta pusaka masih belum dituntut. Bagaimanapun ia telah menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Sekiranya kita meninggal dunia tanpa mempunyai wasiat atau pengurusan harta yang sah, proses menuntut harta mengambil masa yang panjang sebelum diagihkan kepada waris. Lebih merumitkan pelantikan pentadbir tidak mendapat persetujuan waris, perbalahan antara waris yang mengundang jenayah.
Malah, memandang ringan menjadi sebab pengurusan harta pusaka tidak menjadi penting kepada segelintir rakyat di negara ini. Mereka juga tidak mahu mengambil tahu prosedur yang perlu dilalui dan agensi terlibat yang sepatutnya menguruskan urusan pembahagian harta pusaka.
Walaupun pengurusan harta dikaitkan dengan kematian, hak milik harta atau kuasa terhadap harta perlu disusun dengan lebih baik. Ia penting supaya tidak membebankan waris si mati.
Sekiranya berlaku kematian sebelum sempat menyusun perancangan harta pusaka, ia akan mengundang pelbagai masalah antaranya harta akan dibekukan. Bagaimana nasib anak- anak yang masih kecil setelah ketiadaan waris dan harta pusaka yang ditinggalkan tidak memberikan manfaat kepada mereka.


Apakah faktor lain yang menjadi penyumbang harta pusaka tidak dituntut?
Faktor lain kerana tidak mempunyai pengalaman mengenainya dan menganggap ia membebankan. Mereka menganggap proses permohonan pembahagian memerlukan kos tinggi dan lambat.
Pengurusan lambat disebabkan tiada kesepakatan dalam melakukan permohonan selepas kematian. Ada juga menyerahkan pengurusan harta melalui faraid sahaja.
Walaupun faraid mempunyai pengagihan yang tersusun, tetapi pewasiat boleh meninggalkan pesanan, hasrat, arahan dan menentukan apa yang dia mahu dalam wasiat. Ia bertujuan mengelakkan pertikaian, perebutan dan penganiayaan dalam kalangan waris.
Proses pentadbiran, pelantikan wasi yang amanah dan dokumentasi harta pusaka adalah cabaran dalam menguruskan harta pusaka.
Tanpa mereka sedar, kelalaian mereka untuk menguruskan harta pusaka menyebabkan status pemilikan tidak rasmi boleh mengakibatkan isu termakan harta yang bukan hak dan harta anak yatim.
Selain itu, tiada pengetahuan dan maklumat untuk mengurus harta pusaka si mati. Ada juga segelintir yang bersikap tidak apa dan tidak prihatin. Menganggap tugas menyelesaikan harta pusaka satu tugas yang remeh-temeh. Sikap menangguhkan penyelesaian pusaka tidak mendatangkan sebarang kesan dari segi hukum dan undang-undang.
Tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut disegerakan pembahagian pusaka si mati. Mereka menyelesaikan apabila ada sesuatu yang mendatang keuntungan apabila harta dijual. Pertikaian dalam kalangan waris punca harta dibiar tanpa diurus.

Apakah kesan apabila seseorang melengahkan pengurusan harta dan meninggal dunia tanpa wasiat?
Kita sebagai umat Islam sepatutnya tidak melengahkan pengurusan harta sebelum kematian dan perlu fikirkan kesan-kesan dari sudut hukum syarak, undang-undang, sosial dan ekonomi. Tanpa perancangan dan pengurusan harta yang baik boleh memberi kesan negatif kepada pemilik harta dan harta tersebut.
Antaranya ialah sekiranya tidak mengurus dan merancang harta dari awal, ia akan melibatkan waris-waris berterusan memakan harta yang bukan hak mereka secara sedar ataupun tidak. Firman ALLAH SWT “ Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu memakan harta antara kamu dengan cara batil.” (Surah an Nisa’4 ayat:29)
Para waris memakan hak si mati.  Dalam harta pusaka si mati ada hak si mati yang perlu dijelaskan seperti hutang dengan manusia dan ALLAH.
Jika si mati meninggalkan anak-anak di bawah umur, harta yang ditinggalkan adalah harta anak yatim.  ALLAH melarang keras perbuatan memakan harta anak yatim. “Jangan sekali-kali kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang baik sehingga dia mencapai umur yang baligh.” (Surah al-An’am 6: ayat 152)  
Apabila seseorang meninggal dunia hartanya akan beku. Berlaku perselisihan faham dan pertikaian siapa yang akan menjadi pentadbir. Waris-waris menghadapi kesukaran untuk melantik pentadbir yang benar jujur dan amanah. Boleh berlaku penipuan dan penyelewengan di dalam pentadbiran harta pusaka.

Boleh kongsikan antara kes yang pernah terjadi?
Ada kes perebutan pusaka yang terpaksa dilalui seorang isteri yang kematian suami enam tahun lepas tidak dapat menyelesaikan pusaka peninggalan arwah suami sehingga hari ini disebabkan  waris-waris sebelah suami enggan bekerjasama.
Kesannya,  si isteri terpaksa bekerja untuk menyara diri dan anak-anak untuk meneruskan kelangsungan hidup, sedang arwah suami meninggalkan harta yang banyak.
Jika  semasa hidup arwah suami merancang dan mengurus harta, perebutan sebegini dapat dielakkan.
Uniknya kes ini, adik-beradik arwah suami campur tangan dan ingin membolot kesemua harta tersebut dan menidakkan hak waris-waris faraid yang berhak.

Langkah yang perlu dilakukan untuk menyedarkan orang ramai mengenai pengurusan harta pusaka?
Semua pihak perlu bekerjasama mengenai pengurusan harta pusaka. Individu yang pakar dalam bidang pengurusan harta perlu tampil ke depan untuk menjelaskan mengenai kepentingan harta pusaka. Ia perlu diperluaskan walaupun dianggap satu topik yang agak berat. Harta adalah penting dan perlu diuruskan dengan baik supaya ia terus terpelihara dan tidak memutuskan ikatan kekeluargaan.
Kematian itu pasti. “Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasa mati.” (Surah Al Anbiya ayat 35)  
Kewajipan merancang pengurusan harta seharusnya dibuat dengan bijak dan teliti. Amalan yang dinamakan sebagai perancangan pengurusan harta ini bukan sekadar mengumpul, mengurus, membangunkan dan melindungi harta semata-mata, sebaliknya harta dan kekayaan yang dimiliki harus dipastikan dapat diwarisi oleh waris-waris dengan sebaiknya tanpa menimbulkan kesulitan dan kesusahan kepada waris yang berhak menerimanya.

Agensi yang bertanggungjawab menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka?
Pembahagian harta pusaka di Malaysia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Harta Pusaka Besar yang mempunyai harta alih dan tak alih bernilai RM2 juta dan ke atas. Yang kedua adalah Harta Pusaka Kecil iaitu harta alih dan tak alih bernilai RM2 juta dan ke bawah manakala Pusaka Ringkas ialah tunai RM600,000 ke bawah.
Tiga agensi utama yang bertanggungjawab iaitu Mahkamah Tinggi bagi Pusaka Besar, Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil bagi Pusaka Kecil dan Amanah Raya Berhad bagi Pusaka Ringkas.


Apakah yang dimaksudkan dengan hibah?
Hibah ialah pemberian ikhlas tanpa balasan atau pemberian kasih sayang kepada waris. Hibah bermakna sesuatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang terhadap hartanya kepada orang lain semasa hidup dan tidak mengharapkan balasan.
Di As Salihin Trustee Berhad – produk pri-hibah (deklarasi hibah) mengguna pakai hibah sebagai satu mekanisme untuk menjamin hak anak-anak ianya adalah suatu pemberian. Hibah boleh dibuat melalui dua cara iaitu hibah dilafazkan semasa hidup dan diberi kepada penerima semasa hidup. Yang kedua adalah pri-hibah dilafazkan di dalam satu deklarasi pemilik aset yang menyatakan bahawa beliau memberi aset tersebut kepada penerima dan beliau memegang aset tersebut untuk kepentingan penerima. Aset tersebut diserahkan kepada penerima oleh pemegang amanah selepas pemberi hibah meninggal dunia.
Kelebihan membuat pri-hibah ialah aset pri-hibah tidak dianggap sebagai harta pusaka penghibah (kerana ia memberi kesan serta-merta mengikut terma dan syarat di dalam deklarasi hibah). Oleh itu ianya terkeluar daripada undang-undang pembahagian faraid dan boleh digunakan sebagai instrumen untuk pembahagian sama rata untuk anak-anak. Penghibah mempunyai kuasa untuk membatalkan hibah (sekiranya pemberian daripada ibu atau bapa kepada anak).
Jika ingin berhibah dalam wasiat, maka hibah yang boleh dilaksanakan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah harta.

Apakah kepentingan harta sepencarian dan kebaikan kepada pasangan?
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama suami dan isteri, sepanjang tempoh perkahwinan yang sah. Kedua-dua pihak memberi sumbangan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung terhadap perolehan harta tersebut.
Pemberian kadar harta sepencarian suami atau isteri ke atas pasangannya berdasarkan tahap sumbangan yang pernah diberikan ke atas harta yang diperolehi bersama sebagai lambang kasih sayang kepada suami atau isteri.
Semasa hidup kita perlu membuat pengisytiharan harta sepencarian buat pasangan melalui deklarasi harta sepencarian. Dengan adanya dokumen deklarasi harta sepencarian yang disediakan semasa hidup ia memudahkan tuntutan harta sepencarian tanpa perlu melalui proses undang-undang yang lama dan pembahagian tidak perlu mengikut keputusan mahkamah. Deklarasi harta sepencarian dapat melindungi hak suami dan isteri jika waris tidak bersetuju.

*Artikel dipetik dari Harian Sinar 15 ogo

Isnin, 22 Januari 2018

Isteri bukan penjaga harta anak di bawah umur jika suami meninggal dunia

"Abang, lantiklah isteri abang sebagai penjaga harta anak abang siap-siap...nanti bila abang dah tiada, isteri abang ini jugalah yang akan jaga dan besarkan anak-anak abang"

Kalau anda bukan peguam syarie...bukan hakim syarie...bukan pegawai bicara pusaka...bukan pekerja di Amanah Raya, anda mesti tidak pernah terpikir akan siapa yang akan menjaga dan mengurus harta anak-anak anda jika ditakdirkan anda meninggal dunia ketika usia anak-anak anda masih di bawah 18 tahun.

Atau suami secara spontan mengatakan isterilah yang akan jaga harta anak-anak anda kerana mereka yang akan jaga anak-anak anda nanti jika anda pergi dahulu. Jaga anak-anak mungkin YA, tetapi menjadi penjaga harta bagi anak bawah umur mungkin TIDAK dari sudut undang-undang syarak.

Sepintas perbualan dengan seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suami kira-kira 10 tahun lepas. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor meninggal dunia kerana sakit ketika usia anak masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa perancangan harta pusaka.

Oleh kerana Puan Imah seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, puan Imah telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kredit kad dan hutang rumah sehingga lah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikannya. Lebih setahun jugalah urusan pusaka itu baru selesai.

Namun puan Imah agak terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah yang mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada Amanah Raya. Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia 6 tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung anak tersebut, yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya?

Disebabkan keputusan mahkamah tersebut, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anaknya dengan duit gajinya. Nasib baik dia bekerja dan duit gajinya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka 2 beranak. Walaubagaimanapun ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang dibawah jagaan Amanah Raya.

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya. Dalam 2 minggu biasanya permohonan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat tersebut terletak lebih kurang 80km. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri untuk ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu cukup umur 18 tahun beberapa tahun lagi.

"Ketahuilah para suami, bahawa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara automatik"

Kenapa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak bawah umur secara terus? Merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, 'Bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi.'

Jika bapa tidak meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.

"Jangan letak anak bawah umur sebagai penama atau penerima hibah polisi takaful, KWSP, ASB dan Tabung Haji"

Begitu juga halnya bagi wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan sebagainya yang mengamalkan konsep penamaan. Ramai orang meletakkan penama anak yang masih di bawah umur dengan anggapan sekiranya berlaku kematian pada si ayah (pemegang polisi/pencarum/pemilik harta), wang dari sumber tersebut akan dapat kepada anak untuk merekasurvive  nanti. Namun berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserah kepada Amanah Raya bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Jadi, bagaimana isteri hendak survive membesarkan anak-anak bila suami tiada nanti? semua sedia maklum, bahagian isteri dalam faraid suami adalah sebanyak 1/8 berbanding bahagian anak yang mengambil asobah (baki) faraid suami.

Jadi sebagai isteri dan juga ibu kepada anak-anak, dengan 1/8 bahagian pusaka itulah ditambah dengan pendapatan isteri (jika ada) digunakan secara berjimat oleh si isteri untuk menampung perbelanjaan sara hidup anak-anak, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan hari raya anak-anak, menampung kos perubatan anak-anak dan sebagainya. Belum dikira lagi sara hidup isteri itu sendiri lagi. Tidakkah suami kasihan akan isteri anda yang terus setia mengorbankan diri demi anak-anak anda bersendirian tanpa suami di sisi? Meletak tepi keinginannya untuk berhias dan bermewah-mewah demi mengutamakan keperluan anak-anak. Sehinggakan isteri sendiri tidak merasa 1/8 haknya dari pusaka suaminya. 

Oleh itu, suami jangan alpa, jangan leka dan jangan ambil mudah. Islam telah menggariskan keperluan berwasiat untuk melantik penjaga harta bagi anak yang masih bawah umur. Rujuk Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang jelas menyatakan bahawa 'Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan anak-anaknya yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi kepentingan-kepentingan mereka.'

"Suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat"

Kepada suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda agar isteri dan anak-anak anda tidak terbeban jika ditakdirkan anda pergi dahulu ketika usia anak-anak masih kecil. Bila suami melantik isteri sebagai penjaga harta anak-anak di dalam wasiatnya, selepas kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak akan diserah kepada isteri untuk diguna secara berhemah sebagai pemegang amanah atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup umur. Dengan itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang telah anda usahakan selama hayat anda.

Bukannya tidak percaya pada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan pergi dahulu. Pakcik-makcik kepada anak-anak anda pula, walaupun menerima pusaka anda, tetapi tiada peruntukan undang-undang yang jelas mengatakan mereka wajib menanggung nafkah anak-anak anda sehingga mencapai umur dewasa. Bukannya Amanah Raya tidak bagus dalam menjaga harta anak-anak anda tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal yang menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang dan malam menampung nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian.

Suami, fahamlah dan buatlah perancangan terbaik untuk isteri dan anak-anak anda.


SUMBER: 
http://pakarpusakaislam.blogspot.my

Khamis, 18 Januari 2018

SEBAB KENAPA ANDA PERLU TAKAFUL

Ada 11 sebab mengapa anda perlu menyertai takaful

1. Menyediakan dana pendapatan sekiranya anda meninggal dunia.

2. Menyediakan pendapatan sekiranya anda hilang upaya

3. Menyediakan dana persaraan

4. Menyediakan dana pendidikan anak-anak.

5. Menyediakan dana penyakit kritikal.

6. Mengelakkan dari berhutang

7. Melindungi aset

8. Simpanan untuk menunaikan haji dan umrah.

9. Melindungi perniagaan

10. Melakukan amal jariah

11. Mengurangkan cukai pendapatan

TIPS MEMILIH PELAN TAKAFUL

Memilih Perlindungan Takaful

Memiliki pelan perlindungan hayat untuk diri sendiri atau mereka yang tersayang dapat membantu anda daripada segi kewangan ketika dalam kesusahan. Waris anda layak menerima sejumlah wang daripada polisi anda jika anda meninggal dunia. Anda juga boleh menerima pampasan ke atas sebarang kecacatan kekal yang menimpa anda. Ini bagi memastikan keluarga terdekat anda mempunyai wang tunai dan pendapatan sementara selepas kematian anda.

Selain itu, jika sesuatu insuran itu mempunyai nilai simpanan, maka ianya menyediakan suatu pelan tabungan tambahan untuk masa hadapan sebagai sumber pendapatan apabila bersara. Juga memberi jaminan dana pendidikan anak-anak.

'Kad Perubatan' atau 'Medical Card' pula ialah satu manfaat tambahan yang melindungi kos rawatan perubatan swasta yang mungkin mahal, seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan. Manfaat ini juga memastikan anda tidak perlu bimbang mengenai kos bagi mendapatkan rawatan kecemasan di hospital pakar swasta kerana segala pembayaran kos rawatan adalah 'cashless'!

Dalam memilih insuran yang sesuai, anda perlu mempertimbangkan keperluan, keutamaan dan risiko yang mungkin anda tanggung/hadapi di masa akan datang.

Apabila membuat pemilihan polisi, anda harus:
1)Memilih polisi yang sesuai dengan peringkat hidup anda
2)Memahami skop perlindungan yang ditawarkan polisi tersebut
3)Mengetahui apa yang akan terjadi jika anda perlu menukar polisi
4)Memberi maklumat penuh dan tepat di dalam permohonan anda
5)Pastikan premium yang anda mampu bayar dengan keperluan manfaat anda

Majikan anda mungkin telah mengambil pelan berkumpulan di mana premium akan dibayar sama ada oleh anda sendiri atau majikan anda. Anda patut mendapatkan maklumat tentang terma polisi tersebut dan skop perlindungannya. Walaupun anda mempunyai pelan berkumpulan, anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk mendapatkan pelan individu yang mungkin lebih bersesuaian dengan keperluan anda serta untuk menjamin perlindungan insurans sekiranya anda bertukar kerjaya atau sesudah bersara nanti!

Tahu tak bagaimana nak urus harta pusaka?

Harta Pusaka Formula FAST Mudahkan Pembahagian Harta. Kosmo Ahad 8 Januari 2017 JURNAL Wawancara Minggu Ini Urusan pembahagian harta l...